Tuesday, August 25, 2020

Kanak-Kanak & Obesiti


Peningkatan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbang. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015, seramai 11.8% yang berusia bawah 18 tahun didapati mempunyai masalah obesiti. 

Malaysia menduduki tangga tiga teratas antara negara Asia yang mencatatkan peratusan tertinggi bagi obesiti kanak-kanak.

Kita perlu memandang serius terhadap masalah obesiti kanak-kanak kerana perkara ini akan memberi kesan pada masa akan datang jika tidak dibendung dari awal. Golongan inilah yang akan mentadbir negara pada masa depan. Obesiti boleh menyumbang kepada kematian pramatang (premature death) semasa dewasa disebabkan penyakit-penyakit tidak berjangkit berkaitan obesiti seperti diabetes, hipertensi, hiperkolesterolemia dan penyakit kardiovaskular.
Obesiti kanak-kanak ditentukan dengan merujuk kepada graf Indeks Jisim Tubuh (BMI)-untuk-Umur. Amalan pemakanan yang sihat dan gaya hidup yang aktif antara kunci utama bagi mengelakkan masalah obesiti. 

Ibu bapa dan keluarga memainkan peranan yang sangat penting terutamanya dalam memberi sokongan dan dorongan. Ibu bapa juga harus menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Obesiti kanak-kanak ini boleh diatasi bermula dari keluarga di rumah. Wujudkan persekitaran yang sihat dan berikan pemakanan yang terbaik untuk anak-anak bagi mengelakkan faktor obesogenik!