Tuesday, November 24, 2020

Fakta Penyakit Pneumokokal

 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak yang akan dilaksanakan di semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara.


Vaksin pneumokokal konjugat (pneumococcal conjugate vaccine, PCV) diberikan untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus. Antara penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae adalah radang paru-paru (pneumonia), radang sinus (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia). Komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.

Pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak bertujuan untuk mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal di kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun. Ini seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya. Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, namun terdapat beberapa strain bakteria pneumococcus yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik. Pemberian vaksin pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik.

Pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal

Pemberian vaksin pneumokokal konjugat (PCV) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak di fasiliti kesihatan KKM akan bermula pada 1 Disember 2020.

Vaksin pneumokokal akan diberikan sebanyak tiga (3) dos iaitu dua (2) dos primer pada umur empat (4) bulan dan enam (6) bulan; diikuti dengan satu (1) dos penggalak (booster) pada umur 15 bulan. 

Kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya adalah layak menerima suntikan vaksin pneumokokal di klinik kesihatan KKM. Ibubapa perlu membuat temujanji dengan klinik kesihatan KKM bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kepatuhan kepada normal baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit COVID-19.